Skip to main content

Pengenalan

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (PPPM PT), terdapat penekanan terhadap salah satu daripada 10 lonjakan iaitu Graduan TVET berkualiti. Sebanyak EMPAT (4) strategi telah dikenalpasti untuk mengukur pencapaian lonjakan ini,dan salah satu daripada strategi tersebut ialah “Kurikulum Berlandaskan Industri”. Dalam menjayakan strategi ini, penyedia TVET (politeknik) akan melibatkan industri dalam menambah baik program sedia ada dan menjadikannya lebih relevan. Antara aktiviti penambahbaikan ini ialah penglibatan pengamal industri dalam proses pengajaran & pembelajaran (P&P) melalui aktiviti Pensyarah Pelawat Industri (PPI). 

Perlaksanaan PPI ini membolehkan para pelajar memperolehi pengetahuan dan berkongsi pengalaman serta teknologi terkini secara terus dari pengamal industri samada di bilik kuliah atau di industri. Politeknik bebas melaksanakan aktiviti PPI berdasarkan bidang pengajian pelajar. Ini termasuk semua jenis kursus yang terkandung di dalam struktur program pengajian pelajar. Namun demikian, pelaksanaan 100% aktiviti PPI melibatkan kursus yang berkaitan bidang pengajian pelajar adalah DIGALAKKAN. 

Pada tahun 2019, sasaran jumlah jam interaksi adalah 30 jam bagi setiap program pengajian yang ditawarkan di politeknik dengan mengambilkira peruntukan sedia ada iaitu sebanyak RM470,700.00. Pada tahun tersebut, aktiviti PPI berjaya dilaksanakan di politeknik dengan purata pencapaian sebanyak 96%. Manakala pada tahun 2020, tiada peruntukan kewangan bagi aktiviti PPI, namun demi meneruskan amalan mempelbagaikan penyampaian pdp yang berkualiti di politeknik, aktiviti PPI diteruskan mengikut kesesuaian dan kemampuan politeknik masing-masing. Tiada sasaran jam interaksi di tetapkan, memadai setiap program pengajian mengadakan satu aktiviti PPI tanpa menetapkan sebarang sasaran jam interaksi. Pada tahun 2020, aktiviti PPI berjaya dilaksanakan di politeknik dengan purata pencapaian sebanyak 94.82%.

Comments